Selasa, 17 Disember 2013

Yumi Zinnita atau Ayumi Syafiqah? Orangnya Sama. Tema Ceritanya Satu Dalam Sejuta!

Kerdipan Bintang Cinta, nukilan Yumi Zinnita atau lebih dikenali sebagai Ayumi Syafiqah oleh novel aficionado di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan juga Brunei, benar-benarlah sebuah garapan yang satu dalam sejuta. Berpeluang membaca dan mengedit KBC, lalu saya jatuh cinta dengan watak Danisya yang menjadi tonggak utama dalam novel ini. Danisya yang unik, seunik namanya. Tingkah laku Danisya, cara yang dilakukannya demi memperoleh 'kelegaan' yang sementara, yang kerap dilakukan di dalam bilik air atau di mana saja asalkan dia bersendirian, mengejutkan saya yang selama ini tidak pernah dihidangkan dengan jalan cerita yang sebegitu rupa dalam novel Melayu. Sudah tentu ada yang pernah mengenengahkan genre dan tema yang hampir serupa tetapi gaya garapan Yumi Zinnita, gaya garapannya tidak sama dengan gaya garapan mereka yang bukan bernama Yumi Zinnita. Lakaran cerita Yumi Zinnita terlalu realistik, sehingga saya berasa seolah-olah Danisya itu saya. Dan kesakitan yang dirasai oleh Danisya, dan kenikmatan yang dinikmati oleh Danisya, menjadi milik saya juga. Begitulah hebatnya Yumi Zinnita 'menghidupkan' watak heroinnya dalam Kerdipan Bintang Cinta. 

Muncul pula Izdham. Ya, Izdham... lelaki itu. Yang begitu selamba datang duduk di hadapan Danisya sehingga terbantut niat Danisya hendak menyuapkan nasi ke dalam mulutnya yang sudah menganga, lalu sudu itu diletakkan semula di pinggan demi menghormati Izdham yang ternyata mahu bersembang dengannya. Izdham begitu popular di kalangan pelajar di kolej itu. Boleh dikatakan semua orang mengenalinya. Dan Izdham, yang sudah jatuh cinta dengan kecomelan Danisya, berikrar untuk menjadi teman setia Danisya buat selama-lamanya. Rahsia Danisya disimpan kemas dalam hati lelakinya. Caranya membantu Danisya memperoleh ketenangan, sangat gentleman. Dia hanya memikirkan tentang Danisya dan hanya Danisya seorang sahaja, apa yang terbaik buat Danisya dan bagaimana untuk memastikan Danisya sentiasa bahagia. Dan Izdham mahu menjadikan Danisya miliknya. 

Namun, Izdham yang sudah memikat hati Danisya, juga punya masalah sendiri yang terlalu besar untuk tidak diendahkan. Izdham yang Danisya cinta dan mencintai Danisya, berasal dari keluarga yang baik-baik, berpelajaran dan berharta tetapi dia bukanlah lelaki yang sempurna. Sudikah Danisya menerima Izdham setelah mengetahui ketidaksempurnaan jejaka itu, sedangkan Izdham menerima Danisya dengan seadanya, sempurna atau tidak, tidak langsung menggoyah cintanya. 

Sudikah Danisya menerima Izdham?

Kenalah baca sendiri. 


Penulis: Yumi Zinnita
Penerbit: Elee Mardiana Publication
Harga: RM25.00 - Semenanjung Malaysia / RM28.00 - Sabah & Sarawak

Novel ini akan berada di pasaran pada 31hb Disember ini, insya-Allah. Itu pun tertakluk kepada kilang pencetak. Di bawah ini, saya lampirkan sinopsis tentang hidup seorang Danisya yang dicoretkan oleh Yumi Zinnita sendiri. Yumi Zinnita... nama ini akan menjadi satu nama yang termasyhur dalam dunia penulisan dalam masa yang terdekat ini. 

 Sinopsis Kerdipan Bintang Cinta: 

Peristiwa hitam yang berlaku dalam hidup membuatkan Danisya menanggung penderitaan melawan kemurungan selama tiga tahun. Selama tiga tahun itu jugalah, Danisya dihantar berubat sehinggalah semangatnya yang telah lama hilang pulih semula. Lalu, keputusan untuk menyambung pelajaran yang tertangguh terus disuarakan.

Sejak mula belajar, Danisya belajar erti berkawan dan bergaul dengan rakan sekeliling. Perkenalan dengan Izdham, lelaki penjaga kaunter kafe di kampus telah membawa Danisya untuk lebih mengenali warna-warni kehidupan. Semakin hari, Izdham semakin pandai mengambil hati hingga tanpa sedar, cinta mula bersemi antara mereka.

Lamaran dihulur Izdham sebagai bukti cinta yang ingin disimpul mati. Danisya pula menerima meski usia masih terlalu muda dan mentah. Namun, bahagia yang didamba seolah-olah terhenti di tengah jalan apabila rahsia yang dipendam Izdham selama ini terbongkar. Danisya cuba menerima, namun hatinya tidak sekuat yang disangka. Izdham pula semakin lelah memohon kemaafan yang ternyata memang bukan untuknya. Lalu, masih mampukah cinta yang ada memberi peluang kepada mereka berdua untuk mencuba sekali lagi?


Yang tulis ikhlas,
Elee Mardiana

2 ulasan:

  1. Saya nak beli..mcmmana nak order..blh beli terus dgn eleemardianapublication ke..

    BalasPadam
  2. INGIN MEMBELI TERUS NOVEL-NOVEL EMP DARIPADA KAMI?
    Cara-caranya mudah saja:

    1. Buat senarai novel yang ingin dibeli terus daripada EMP.

    2. Buat bayaran di Maybank.
    Nama akaun: Elee Mardiana Publication
    Nombor akaun: 558396301719

    3. Hantar mesej di inbox EMP.
    Tulis nama, alamat, nombor telefon, senarai novel yang dibeli dan juga bukti pembayaran.

    Bukti pembayaran ini adalah penting dan wajib disertakan. Tanpa bukti bayaran, kami tidak akan menerima pesanan yang dibuat.

    Setiap pembelian akan disertakan dengan nombor pendaftaran. Tujuannya ialah untuk memudahkan kami mengesan pembeli setia novel-novel kami. Insya-Allah, setiap hujung tahun EMP akan membuat cabutan bertuah untuk menghargai beberapa orang peminat setia kami. Apa hadiahnya? Tunggulah nanti... he he he...

    EMP - Kami Sayang Pembaca Setia Kami!

    BalasPadam