Selasa, 17 Disember 2013

Yumi Zinnita atau Ayumi Syafiqah? Orangnya Sama. Tema Ceritanya Satu Dalam Sejuta!

Kerdipan Bintang Cinta, nukilan Yumi Zinnita atau lebih dikenali sebagai Ayumi Syafiqah oleh novel aficionado di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan juga Brunei, benar-benarlah sebuah garapan yang satu dalam sejuta. Berpeluang membaca dan mengedit KBC, lalu saya jatuh cinta dengan watak Danisya yang menjadi tonggak utama dalam novel ini. Danisya yang unik, seunik namanya. Tingkah laku Danisya, cara yang dilakukannya demi memperoleh 'kelegaan' yang sementara, yang kerap dilakukan di dalam bilik air atau di mana saja asalkan dia bersendirian, mengejutkan saya yang selama ini tidak pernah dihidangkan dengan jalan cerita yang sebegitu rupa dalam novel Melayu. Sudah tentu ada yang pernah mengenengahkan genre dan tema yang hampir serupa tetapi gaya garapan Yumi Zinnita, gaya garapannya tidak sama dengan gaya garapan mereka yang bukan bernama Yumi Zinnita. Lakaran cerita Yumi Zinnita terlalu realistik, sehingga saya berasa seolah-olah Danisya itu saya. Dan kesakitan yang dirasai oleh Danisya, dan kenikmatan yang dinikmati oleh Danisya, menjadi milik saya juga. Begitulah hebatnya Yumi Zinnita 'menghidupkan' watak heroinnya dalam Kerdipan Bintang Cinta. 

Muncul pula Izdham. Ya, Izdham... lelaki itu. Yang begitu selamba datang duduk di hadapan Danisya sehingga terbantut niat Danisya hendak menyuapkan nasi ke dalam mulutnya yang sudah menganga, lalu sudu itu diletakkan semula di pinggan demi menghormati Izdham yang ternyata mahu bersembang dengannya. Izdham begitu popular di kalangan pelajar di kolej itu. Boleh dikatakan semua orang mengenalinya. Dan Izdham, yang sudah jatuh cinta dengan kecomelan Danisya, berikrar untuk menjadi teman setia Danisya buat selama-lamanya. Rahsia Danisya disimpan kemas dalam hati lelakinya. Caranya membantu Danisya memperoleh ketenangan, sangat gentleman. Dia hanya memikirkan tentang Danisya dan hanya Danisya seorang sahaja, apa yang terbaik buat Danisya dan bagaimana untuk memastikan Danisya sentiasa bahagia. Dan Izdham mahu menjadikan Danisya miliknya. 

Namun, Izdham yang sudah memikat hati Danisya, juga punya masalah sendiri yang terlalu besar untuk tidak diendahkan. Izdham yang Danisya cinta dan mencintai Danisya, berasal dari keluarga yang baik-baik, berpelajaran dan berharta tetapi dia bukanlah lelaki yang sempurna. Sudikah Danisya menerima Izdham setelah mengetahui ketidaksempurnaan jejaka itu, sedangkan Izdham menerima Danisya dengan seadanya, sempurna atau tidak, tidak langsung menggoyah cintanya. 

Sudikah Danisya menerima Izdham?

Kenalah baca sendiri. 


Penulis: Yumi Zinnita
Penerbit: Elee Mardiana Publication
Harga: RM25.00 - Semenanjung Malaysia / RM28.00 - Sabah & Sarawak

Novel ini akan berada di pasaran pada 31hb Disember ini, insya-Allah. Itu pun tertakluk kepada kilang pencetak. Di bawah ini, saya lampirkan sinopsis tentang hidup seorang Danisya yang dicoretkan oleh Yumi Zinnita sendiri. Yumi Zinnita... nama ini akan menjadi satu nama yang termasyhur dalam dunia penulisan dalam masa yang terdekat ini. 

 Sinopsis Kerdipan Bintang Cinta: 

Peristiwa hitam yang berlaku dalam hidup membuatkan Danisya menanggung penderitaan melawan kemurungan selama tiga tahun. Selama tiga tahun itu jugalah, Danisya dihantar berubat sehinggalah semangatnya yang telah lama hilang pulih semula. Lalu, keputusan untuk menyambung pelajaran yang tertangguh terus disuarakan.

Sejak mula belajar, Danisya belajar erti berkawan dan bergaul dengan rakan sekeliling. Perkenalan dengan Izdham, lelaki penjaga kaunter kafe di kampus telah membawa Danisya untuk lebih mengenali warna-warni kehidupan. Semakin hari, Izdham semakin pandai mengambil hati hingga tanpa sedar, cinta mula bersemi antara mereka.

Lamaran dihulur Izdham sebagai bukti cinta yang ingin disimpul mati. Danisya pula menerima meski usia masih terlalu muda dan mentah. Namun, bahagia yang didamba seolah-olah terhenti di tengah jalan apabila rahsia yang dipendam Izdham selama ini terbongkar. Danisya cuba menerima, namun hatinya tidak sekuat yang disangka. Izdham pula semakin lelah memohon kemaafan yang ternyata memang bukan untuknya. Lalu, masih mampukah cinta yang ada memberi peluang kepada mereka berdua untuk mencuba sekali lagi?


Yang tulis ikhlas,
Elee Mardiana

Isnin, 16 Disember 2013

Mengapa ramai orang suka membaca novel Rafina Abdullah?

Saya mengambil keputusan untuk menjadi editor kepada manuskrip Rafina Abdullah yang bertajuk Suami Terhangat (tajuk asalnya Suami Hot), semata-mata untuk mengenali beliau dan juga tulisan beliau dengan lebih mendalam. Jujur saya katakan, pada mulanya agak sukar juga bagi saya menghadam gaya olahannya. Namun, atas nama tanggungjawab, saya gagahkan diri membaca sehingga akhirnya saya menjadi taksub dengan jalan ceritanya.

Kebijaksanaan Rafina Abdullah mengupas isu berbangkit dalam manuskripnya itu, dengan memaparkan babak-babak yang menyentuh isi hati watak-watak utamanya dan dengan 'mendakap' pembaca melalui dialog-dialog yang dianggap klise tetapi sebenarnya memberikan kekuatan kepada manuskrip itu, membuatkan saya faham mengapa begitu ramai novel aficionado berebut-rebut mahu mendapatkan novel terbarunya. Malah, sebelum novel ini dicetak, sebuah syarikat pengedar novel dari Brunei telah menghubungi seorang rakan penerbit untuk bertanyakan tentang novel itu, lantaran menyangkakan rakan penerbit itulah yang menerbitkan Suami Terhangat! 

Terima kasih buat rakan penerbit itu kerana sudi memaklumkan kepada saya. 

Panggilan telefon daripada pengedar buku itu sahaja telah membuktikan betapa kuatnya pengaruh Rafina Abdullah dalam bidang penulisan. 

Manuskripnya kali ini membawa kisah yang lain daripada yang lain. Kisah seorang lelaki, seorang suami dan seorang ayah yang tampan, bergaya dan kaya tetapi telah berlaku curang terhadap isterinya. Rafina sendiri terkejut apabila saya menerima manuskrip ini, sedangkan penerbit lain menolaknya. Inilah yang saya namakan rezeki EMP. Malah, novel ini yang bakal menyerlahkan wajahnya pada hujung bulan ini, insya-Allah, telah diintai oleh seorang penerbit drama/filem. 

Nak kata apa lagi? Syukur alhamdulillah dan kalau itu tidak membuktikan kekuatan penangan Rafina Abdullah, saya tak tahulah apa lagi yang boleh mengatasinya.

Saya paparkan di sini serba sedikit isi dalam Suami Terhangat. Bacalah untuk melihat sendiri kekuatan yang saya maksudkan:

IDZMIR mengetuk pintu bilik tidur itu bertalu-talu. Tetapi Nurshila yang berada di dalam bilik itu, masih enggan membukanya. Pulang dari tempat kerja petang tadi, Nurshila terus berkurung di dalam bilik itu.
“Sayang, please open the door.” Lagi sekali Idzmir cuba mengetuk pintu sambil memulas tombolnya.
“Abang minta maaf sebab berkasar dengan Shila tadi. Abang tak sengaja nak cederakan Shila. Open the door, please...”
Nurshila mengesat air matanya. Perasaan sedihnya tidak mampu ditahan-tahan. Perlahan-lahan dia melangkahkan kakinya menuju ke arah pintu.
Sebaik sahaja pintuk bilik dikuak, Idzmir segera masuk dan mendapatkan Nurshila yang sedang berdiri di belakang pintu.
“Selama enam tahun kita kahwin, abang tak pernah buat macam ni pada Shila. Tak pernah berkasar dengan Shila sehingga mendatangkan kecederaan. Apa yang ada dalam fikiran abang? Shila tahu abang ada masalah tapi bukan pada Shila yang patut abang lepaskan kemarahan abang tu,” ujar Nurshila dengan suara yang bergetar. Air mata yang jatuh, disekanya dengan hujung jari.
“Abang tak sengaja. Meh sini abang tengok lengan Shila.”
Idzmir mendekati Nurshila lalu memegang lembut lengan isterinya yang sudah lebam itu. Nurshila hanya membiarkan sahaja. Kesakitan yang dirasainya di situ, tidak sehebat kelukaan yang sedang bermukim di hatinya. Sikap cemburu buta yang ditunjukkan Idzmir benar-benar mengecewakannya.
I’m your wife. Tolong jangan perlakukan Shila sewenang-wenangnya di depan orang seperti apa yang abang buat di pejabat tadi.”
Wajah Nurshila keruh. Masih terlayar di ruang matanya ketika Idzmir meraih kasar lengannya di hadapan Saiful, Khalid dan beberapa orang staf. Dia berasa malu diperlakukan begitu seolah-olah dia tiada maruah dan harga diri.
Idzmir menarik Nurshila ke dalam pelukannya. Rambut Nurshila diusapnya berulang kali.
“Tolong maafkan abang. Abang tak sengaja buat Shila macam tu. Tak tahulah kenapa abang cemburu dengan Khalid. Tapi Shila kena ingat satu perkara. Kalau abang tak cemburu, bermakna abang tak sayang.”
Idzmir semakin kejap memeluk tubuh isterinya. Kemudian, tangan kiri Nurshila ditariknya perlahan menuju ke katil. Nurshila hanya menurut. Idzmir menyeka air mata isterinya yang masih bersisa dengan hujung jari.
“Jangan menangis lagi. Abang tak sanggup melihat air mata Shila berkali-kali tumpah kerana kesilapan yang abang dah buat. Shila maafkan abang tak?”
Nurshila hanya diam.
“Shila duduk sini. Abang ambilkan minyak ubat,” arah Idzmir sambil berlalu keluar untuk mengambil minyak yang terletak di dalam almari di luar bilik tidur mereka.
Selepas beberapa minit kemudian, Idzmir kembali dengan membawa sebotol minyak ubat di tangan. Dia duduk di sisi isterinya itu sambil membuka penutup botol tersebut.
Lengan Nurshila dipegangnya perlahan. Sebelum menyapu minyak ubat itu, Idzmir mengucup lembut pada bahagian yang lebam itu. Hati lelakinya tersentuh apabila melihat kecederaan akibat daripada perbuatan tangannya sendiri. Memang benar, selama ini dia tidak pernah berkasar dengan Nurshila. Untuk menjentik isterinya itu pun dia tidak sampai hati, apatah lagi untuk naik tangan ke muka.
Idzmir meletakkan minyak ubat di tapak tangannya. Kemudian, dia menyapu minyak itu pada lengan Nurshila yang sudah lebam. Berkerut-kerut wajah Nurshila menahan kesakitan.
“Sakit?” soal Idzmir lembut.
Nurshila hanya mengangguk.
Apabila melihat wajah Nurshila yang berkerut, segera Idzmir meniup perlahan kawasan yang lebam itu.
Nurshila hanya memerhati. Hatinya mula digamit rasa terharu dengan perhatian dan layanan yang ditunjukkan Idzmir. Memang dari dulu lagi Idzmir sentiasa begitu.
Can you forgive me, sayang?” soal Idzmir perlahan sambil tangannya menyentuh dagu Nurshila.
“Shila tak tahu.” Ringkas Nurshila menjawab. Dia ingin menundukkan muka tetapi dihalang oleh tangan Idzmir yang sedang memegang dagunya.
Please don’t be like this and please forgive me. Abang tak sengaja.” Idzmir berhenti menyapu minyak ubat pada lengan Nurshila dan segera menarik tangan isterinya itu ke dadanya. “Boleh sayang rasa sesuatu apabila tangan sayang menyentuh dada abang?”
“Tak rasa apa-apa pun.”
Close your eyes. Cuba rasa betul-betul. Degupan jantung abang dah tak sekata sekarang. Itu menandakan hati abang tak tenang kerana sayang belum maafkan abang.”
Yes, I can feel it,” kata Nurshila, sekadar mahu mengambil hati.
Then? Boleh maafkan abang ke tak?” Idzmir mengusap lembut pipi Nurshila.
“Ya, Shila maafkan.”
Idzmir tersenyum lebar lantas menarik Nurshila ke dalam pelukannya. “Abang janji, abang takkan berkasar dengan Shila selepas ni. Kalau abang langgar janji, Shila boleh ambil pisau dan tikam dada abang bertubi-tubi.”
“Melampau!” Nurshila tersenyum.



ISBN: 978-967-122-95-14
Penulis: Rafina Abdullah 
Penerbit: Elee Mardiana Publication
Harga: RM25.00 - Semenanjung Malaysia / RM28.00 - Sabah dan Sarawak



Sinopsis Suami Terhangat melalui coretan Rafina Abdullah sendiri: 

Menjadi seorang suami dengan memiliki pakej lengkap dari segi rupa paras, kedudukan dan kewangan yang kukuh, jalannya tidaklah mudah bagi Idzmir Damien. Dia yang sudah berkahwin dengan Nurshila dan mempunyai seorang anak perempuan bernama Puteri Felisha, sering menjadi perhatian wanita-wanita lain yang berkeinginan mahu berdampingan dengannya.

Di tempat kerja, Idzmir menjalinkan hubungan sulit dengan Aiza yang memegang jawatan sebagai setiausahanya. Namun, pada waktu yang sama dia begitu menyayangi Nurshila dan anak perempuannya yang dipanggil ‘Uyi’. Setiap kali dia berhadapan dengan Nurshila, setiap kali itulah perasaan bersalah mula beraja di hati.

Tetapi, Idzmir tidak seperti lelaki lain yang lebih menjurus tidak mempedulikan keluarga apabila mempunyai hubungan dengan wanita lain. Sebaliknya, dia lebih cenderung mengutamakan Nurshila dan Puteri Felisha dalam segala hal sehingga kadang-kadang dia mengabaikan Aiza. Cintanya kepada Aiza bukannya tidak ikhlas malah dia berniat mahu menjadikan gadis itu sebagai isteri keduanya.

Namun, siapa sangka. Keadaan menjadi sebaliknya apabila Allah yang lebih berkuasa sudah merencanakan sesuatu. Dijauhkan Idzmir daripada Aiza apabila Nurshila mula menghidu kecurangan suaminya. Di sebabkan perkara itu, Idzmir mengambil keputusan untuk melupakan Aiza dengan menidakkan perasaan cintanya terhadap gadis itu kerana lebih mengutamakan Nurshila dan Uyi.

Pelbagai isu yang cuba diketengahkan penulis di dalam naskhah ini. Berbagai konflik, emosi suka dan duka terkandung di dalamnya. Babak komedi dan romantis tidak dilupakan oleh penulis dan tidak terkecuali adegan thriller juga dimuatkan di dalam karya ini. Boleh dikatakan, kisah ini mengandungi seribu perencah yang boleh membuatkan anda tersenyum, ketawa dan bersedih. Di awal-awal cerita, pembaca akan membenci Idzmir tetapi pada akhirnya... pembaca akan temui sesuatu dalam watak Idzmir itu sendiri.


Kata penutup entri ini: jangan lupa mendapatkan novel ini. Anda pasti akan terhibur dengan jalan ceritanya. 

Yang tulis ikhlas,
Elee Mardiana